72. Mengapa 11 September 2001?

Oleh Immanuel Wallerstein

PADA 11 September 2001, seluruh dunia terpegun menyaksikan satu drama yang hebat, satu tragedi manusia. Di Amerika Syarikat empat buah kapal terbang komersial telah dirampas awal pada pagi itu. Terdapat empat hingga lima orang perampas setiap kapal terbang. Bersenjatakan pisau dan seorang daripada mereka berkebolehan memandu kapal terbang (setidak-tidaknya setelah kapal terbang berada di udara), perampas tersebut mengambil alih kapal terbang, menyingkir (atau membunuh) pemandu kapal terbang lalu mengarah kapal terbang itu ke misi maut. Tiga daripada kapal terbang itu berjaya memusnahkan sasaran mereka; Menara Kembar Pusat Dagangan Dunia di Bandar New York dan Pentagon di Washington.

Berbekalkan minyak yang mencukupi dan pengetahuan teknikal di tahap mana kapal terbang harus melanggar bangunan tersebut, perampas berjaya memusnahkan menara kembar itu sepenuhnya dan menembus lubang yang besar di Pentagon. Sehingga kini mungkin lebih 5000 yang mati (tiada siapa yang dapat memberi angka yang tepat) dan lebih banyak lagi yang cedera dan terkejut akibat kejadian yang dahsyat itu. Rangkaian udara Amerika dan institusi kewangannya terhenti sama sekali, setidak-tidaknya untuk minggu ini, manakala kelumpuhan ekonomi jangka pendek dan jangka sederhananya tidak dapat diperkatakan.

Perkara yang pertama sekali perlu diambil perhatian tentang serangan ini ialah keberanian dan kejayaan yang menakjubkan. Sekumpulan manusia yang berkongsi ideologi dan kesanggupan untuk mati syahid telah mengadakan satu pakatan sulit yang dicemburui oleh mana-mana agensi khidmat rahsia di dunia ini. Mereka telah dapat masuk ke negara Amerika, berjaya menaiki empat buah kapal terbang, bersenjatakan pisau, yang sedang berlepas dari tiga lapangan terbang yang mana semuanya sedang dalam penerbangan antara benua dan tentunya mempunyai bekalan minyak yang mencukupi. Mereka merampas kapal terbang dan berjaya mengarahkan tiga daripadanya menuju ke arah sasaran mereka. Tiada sesiapa pun, mahupun CIA atau FBI atau bahagian perisik tentera Amerika yang menerima amaran awal atau berupaya untuk melakukan apa-apa untuk menyekat serangan kumpulan ini.

Maka terjadilah satu serangan yang paling dahsyat dalam sejarah serangan pengganas. Sebelum ini tidak ada serangan yang membunuh lebih kurang 400 orang. Jika dikaitkan dengan serangan Pearl Harbor yang dilakukan oleh angkatan tentera sebuah negara, mangsanya pun tidaklah begitu banyak. Tambahan pula inilah pertama kalinya sejak Perang Saudara (1861-1865) perang berlaku dalam sempadan benua Amerika Syarikat. Sebelum ini negara Amerika telah terlibat dengan peperangan yang besar iaitu Perang Amerika-Sepanyol, Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Korea, dan Vietnam (ini tidak termasuk perang "kecil") dan semua peperangan ini berlaku di luar sempadan. Hakikat bahawa perang berlaku di jalan raya New York dan Washington merupakan satu kejutan terbesar kepada orang Amerika.

Jadi, persoalan yang besarnya ialah, mengapa? Hampir semua orang mengatakan bahawa orang yang bertanggungjawab akan serangan ini ialah Osama bin Laden. Satu andaian yang munasabah oleh sebab beliau pernah menyatakan hasratnya untuk melakukan hal yang sedemikian dan mungkin pada masa akan datang pihak berkuasa Amerika dapat menghasilkan bukti untuk menyokong andaian ini. Katakanlah andaian ini benar. Apakah yang dapat dikaut oleh Osama daripada serangan terhadap Amerika dengan cara yang sungguh menakjubkan ini? Mungkin ini boleh dilihat sebagai luahan amarah dan dendam terhadap kesalahan Amerika kepada seluruh dunia terutamanya di Asia Barat. Adakah terfikir oleh Osama bahawa tindakannya yang sedemikian dapat mempengaruhi rakyatnya daripada serangan ini. Apa yang ingin dilakukan oleh Osama, sekali lagi mengandaikan beliaulah kuasa di sebalik serangan ini, adalah untuk menunjukkan sejelas-jelasnya bahawa negara Amerika ialah harimau tak bertaring. Beliau ingin menyatakannya, terutamanya kepada rakyat Amerika dan seterusnya kepada seluruh dunia.

Kenyataan ini memang sudah jelas kepada kerajaan Amerika seperti jelasnya kepada Osama. Maka responsnya, Presiden Bush berkata beliau akan bertindak balas dan elit politik Amerika dari kedua-dua parti telah memberi persetujuan tanpa ragu-ragu. Tetapi mari kita berhujah pula daripada pandangan kerajaan Amerika? Apa yang dapat mereka lakukan?

Hakikat bahawa Amerika telah mendapat sokongan diplomatik ini, dan mungkin satu resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu nanti, tidak akan menakutkan Osama. Sokongan diplomatik itu tidak akan memuaskan hati orang Amerika. Mereka akan menuntut lebih banyak lagi. Tidak dapat tidak, ini bermakna tindakan ketenteraan. Tetapi apa? Siapakah yang akan diserang oleh Tentera Udara Amerika? Jika Osamalah dalang dalam serangan ini, hanya ada dua sasaran yang berkemungkinan, ini pun bergantung pada keterangan lanjut tentang bukti: Afghanistan dan/atau Iraq. Berapa banyakkah kemusnahan akan berlaku? Di negara Afghanistan yang separuh hancur itu, tindakan ini nampaknya tidak berbaloi. Amerika telah lama bertahan untuk tidak menyerang Iraq atas banyak sebab termasuklah tidak mahu mengorbankan nyawa. Mungkin Amerika akan menyerang seseorang. Adakah itu akan dapat meyakinkan orang Amerika dan seluruh dunia bahawa Amerika terlalu takut untuk menyerang? Saya pun meraguinya. Sebenarnya tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Amerika. Sudah bertahun lamanya CIA cuba untuk membunuh Castro tetapi beliau masih hidup. Amerika telah lama mencari Osama, namun beliau masih hidup juga. Ejen Amerika mungkin akan membunuhnya pada satu hari nanti dan ini akan melengahkan operasi ini. Banyak orang akan berpuas hati. Tetapi masalah itu tidak akan selesai.

Yang jelasnya, satu-satu perkara yang perlu dilakukan ialah sesuatu yang berkaitan dengan politik. Tetapi apa? Di sini semua persetujuan baik di Amerika mahupun di seluruh arena Barat gagal sama sekali. Aktivis keganasan (The Hawks) mengatakan bahawa benarlah apa yang dikatakan oleh Sharon (dan kerajaan Israel hari ini):

"Mereka" merupakan pengganas dan cara untuk mengendalikan mereka dengan bertindak balas yang sama kejamnya. Setakat ini perkara ini belum nampak berjaya untuk Sharon. Mengapa pula tindakan ini boleh dilaksanakan dengan lebih berjaya untuk George W. Bush. Bolehkah Bush membuat orang Amerika menerimanya sebagai satu pengorbanan? Tidak semudah itu. Sebaliknya pencinta damai (The doves) mendapati kes ini sukar dikendalikan secara "perundingan". Perundingan dengan siapa, dan untuk keputusan apa?

Mungkin apa yang berlaku ialah "peperangan" ini - seperti yang disebut oleh media pada minggu ini - tidak akan berakhir dengan kemenangan atau kekalahan tetapi akan berterusan. Keselamatan peribadi yang hancur luluh kini menjadi realiti yang menggugat orang Amerika buat pertama kalinya. Perkara ini telah menjadi realiti di tempat lain di dunia ini. Isu politik yang mendasari pergolakan sistem dunia ini bukanlah antara tamadun dengan yang kejam/gasar. Setidak-tidaknya kita harus menyedari bahawa semua pihak beranggapan mereka bertamadun, dan pihak yang lagi satu, kejam/gasar. Isu tentang apa yang berlaku sekarang ialah krisis dalam sistem-dunia kita dan perjuangan tentang jenis sistem -dunia masa hadapan yang perlu kita bina. Hal ini tidak bererti perlawanan antara orang Amerika dengan orang Afghanistan atau orang Islam atau sesiapa, tetapi satu perjuangan antara pelbagai visi tentang dunia yang hendak kita bina. Tarikh 11 September 2001 akhirnya akan menjadi satu episod kecil, berlawanan dengan apa yang orang ramai sebut sekarang, dalam perjuangan yang akan berterusan dan titik hitam untuk kebanyakan orang di planet ini.

__________________________________________-

English

Fernand Braudel Center Home Page